Sunday, July 26, 2009

I Love Ramadhan datang lagi


Kini kita semua dah berada di bulan Syaaban. Bermakna tak sampai sebulan lagi kita semua akan bertemu Ramadhan, InsyaAllah.

Ahli motivasi kata "kalau kita hendak menebang pokok 2 jam, maka kita mesti menajam kapaknya 4 jam".

Ya, persediaan perlu lebih masa. Nak main bola sepak cuma 90 minit tetapi cuba kita bayang berapa lama kita berlatih, bersedia untuk perlawanan yang 90 minit itu.

Begitulah juga Ramadhan. Memanglah Ramadhan cuma 29 @ 30 hari tetapi sekurang-kurang Tuhan beri kita 60 hari sebagai persedian iaitu Rejab dan Syaaban.

Selain persedian berlatih puasa dengan puasa sunat, bertadarus, bertaubat maka antara persediaan yang perlu kita lakukan juga ialah pemahaman kita untuk bulan mulia ini, Ramadhan.

Banyak perkara yang kita buat tetapi kita kurang faham sebab-sebabnya, hikmahnya, pelajaran di sebaliknya.

Kenapa kita disuruh melambatkan makan sahur?
Sebaliknya kenapa perlu mempercepatkan kita berbuka?
Berapa kali Rasulullah saw berpuasa sepanjang hayatnya?
Kenapa dilarang korek hidung bagi yang berpuasa?
Adakah bulan Ramadhan hanya dengan berpuasa sahaja?
Kenapa wajib niat di malam hari?
Kenapa Tuhan suruh kita berlapar 12 jam selama sebulan?

Di samping banyak lagi motivasi yang menarik.
Nak puasa atau nak puas-puas?
Gastrik atau just trick?

Semua ini saya muatkan dalam buku saya 'I Love Ramadhan' yang ditulis dengan gaya santai.

Cubalah baca, saya hanya mencairkan cara penulisannya tetapi isinya tetap utuh. Buku ini sebenarnya buku ke-5 saya, yang telah terbit pada Ramadhan yang lalu dan pada tahun ini ia dicetak semula oleh penerbit, Karnadya Solution.

Saya juga terlibat mengadakan diskusi buku ini di beberapa tempat. Nak 'share' sedikit rezeki ilmu yang ada.

Semoga ia memberi manfaat buat kita semua...

Saturday, July 18, 2009

REJAB

Rejab dieja dengan 3 huruf iaitu Ra', Jim dan Ba'.

Terdapat peristiwa yang banyak berlaku pada bulan Rejab ini tetapi yang paling ketara ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa yang melibatkan 3 watak utama iaitu Rasulullah saw, Jibril dan Buroq.

Adakah satu kebetulan yang ejaan bulan Rejab sendiri membuktikan hubungan tersebut?

Ra' sebagai huruf pertama Rasulullah...

Jim sebagai huruf pertama ejaan Jibril...

Ba' untuk Buroq

Sekadar makanan minda bagi yang belum tahu... yang dah tahu bagitau lah kawan2 yang belum tahu.

Benarkah Israk Mikraj pada 27 Rejab?

Saya bukanlah nak memperbesar-besarkan benda yang khilaf. Lebih baik kita bincang perkara-perkara yang lebih penting. Cuma kali ini saya terpanggil juga untuk tulis perkara ini.

al-Kisahnya saya terbaca dalam kita al-Rahiq al-Makhtum karanga Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri tentang tarikh berlaku Israk dan Mikraj.

Pengarang menyebut ada 6 pandangan tentang tarikh peristiwa agung ini.

1. Pada tahun yang sama Rasulullah saw dibangkitkan. (Pendapat al-Tabari)
2. Selepas 5 tahun kebangkitan Rasulullah saw. (ditarjih oleh al-Nawawi dan al-Qurtubi)
3. Malam 27 Rejab tahun yang ke-10 selepas kebangkitan saw. (pendapat al-Mansurfuri)

Ketiga-tiga pendapat ini ditolak kerana Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun ke-10 kebangkitan saw sedangkan beliau wafat sebelum difardukan solat. Tidak berlaku perselisihan pendapat yg mengatakan bahawa kefarduan solat adalah pada malam Israk dan Mikraj.

4. Pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kebangkitan (16 bulan sebelum hijrah)
5. Bulan Muharram tahun ke-13 kebangkitan saw (setahun 2 bulan sebelum hijrah)
6. Bulan Rabi'u al-Awwal tahun ke-13 kebangkitan (setahun sebelum hijrah).

Tidak dapat dipastikan manakah pendapat yang paling kuat di kalangan 3 pendapat terakhir ini.

Wednesday, July 15, 2009

Israk dan Mikraj Lagi...


Tentunya Israk dan Mikraj mengandungi seribu satu pengajaran buat kita semua. Walaupun saban tahun kita menyambutnya, kita masih dahaga untuk terus dan terus memperingatinya.

al-kisahnya Rasulullah saw melalui 2 kali proses pembedahan membersikan hati (shaqqu al-sadr). Pertama ketika baginda kecil semasa dalam penjagaan Halimah dari Banu Sa'd yang biasa dikenali dengan Halimah al-Saadiyyah. Kedua semasa peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Persoalannya kenapa baginda saw perlu dicuci jiwanya sebelum diangkat bertemu Allah dalam peristiwa agung ini?

Inilah pelajaran besar yang diajar oleh baginda saw kepada kita semua, umatnya.

KIta semua perlu mencuci jiwa kita sebelum kita ingin mengadap Allah.

Kita disuruh berwuduk dahulu sebelum solat...

Kita perlu bertaubat, membersih diri dari dosa dahulu sebelum kita menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan, menunaikan haji, bersedekah, mendirikan solat...

Dan yang paling penting sebelum kita dijemput Allah buat selama-lamanya.

Malangnya, ramai kita yang gagal memahami konsep tersebut. Kita menuju haji dalam keadaan kita belum bertaubat, kita belum menyucikan diri. Akhirnya kita mengadap Allah dalam keadaan kita bergelumang dosa. Maka tidak hairanlah haji kita tidak mendapat yang 'mabrur'.

Begitulah juga dalam bulan Ramadhan. KIta selalu beranggapan agar kita perlu bertaubat selepas Ramadhan. Kita bermaafan pada 1 Syawal. Tidak hairanlah juga kita sukar bertemu Lailatul Qadar, mengkhatam al-Quran kerana kita menjadi tetamu Allah dalam keadaan kita kotor dengan dosa2.

Sewajarnya kita bertaubat pada bulan Rejab dan Syaaban agar kita dapat meminimakan dosa2 kita agar kita menjadi tetamu yang bersih sepanjang Ramadhan.

Ayuh cubalah...

Sunday, July 12, 2009

Israk dan Mikraj....

Salam semua...

Bagimana anda semua, sudahkah kita menyusun program memperingati sejarah agung ini di dalam rumah kita, tempat kerja kita, ahli kariah kita? Atau kita hanya mengharap pada orang lain sahaja. Tentunya anda tidak begitu...

Israk dan Mikraj adalah saringan keimanan buat saf Islam yang pertama.

Setelah lebih 10 tahun Rasulallah saw berdakwah, maka ramailah yang berjaya memeluk Islam.

Mereka terus diuji dan diuji oleh kafir Quraisy Mekah. Mereka dibunuh, diseksa dan pelbagai ujian lagi. Inilah ujian yang dilemparkan dari musuh. Ujian untuk menguji ketahanan jasad mereka.

Nah Bilal! Berbaring engkau di atas pasir yang panas itu dan tahanlah batu yang berat ini...

Semua mereka begitu hebat sehingga mereka sanggup syahid untuk agama.

Apalah kita jika dibandingkan dengan mereka. Kerdil, kecil.

Namun kali ini, ujian bukan jasad mereka tetapi adalah iman di dalam dada. Kali ini ujian bukan datang dari Abu Jahal dan sekutunya tetapi dari Tuhan yang mencipta Abu Jahal dan seluruh alam ini.

Nah Israk Mikraj.

Satu peristiwa besar yang tidak terjangkau oleh Akal manusia. Perjalanan darat dan langit yang hanya memakan masa semalaman sahaja. Perjalan yang sepatutnya berbulan pun belum tentu berhasil. Perjalanan Rasulullah saw melihat isi syurga dan neraka dengan matanya sendiri. Perjalanan bertemu para nabi sebelum baginda saw bahkan mengimami mereka. Perjalanan bertemu Pencipta Yang Maha Besar.

Adakah engkau percaya semua ini? Adakah engkau menimbang dengan pandangan akal mu atau dengan Iman mu?

Inilah Israk dan Mikraj. Yang berjaya melahirkan graduan iman kelas pertama yang diketuai oleh Abu Bakar sehingga ditabalkan gelaran kebesaran 'al-Siddiq'.

Tidak ada ujian iman yang lebih besar selepas ini. Kejayaan melepasi ujian ini amat perlu untuk melalui langkah2 getir menyampaikan misi dakwah seterusnya.

Sultan Muzaffar Quttuz...

Kalau kita ingin membaca sejarah Mongol maka mesti kita perlu membaca nama Genghis Khan dan Hulagu Khan.

Dan sejarah terbesar mereka tentulah apabila mereka berjaya menjatuhkan Baghdad yang ketika itu merupakan ibu kota Kerajaan Abbasiyyah tahun 656H.

Adapun dipihak Islam, apabila kita membaca serangan Mongol ini maka tokoh penting yang kita perlu kenal ialah Sultan Qutuz.

Kenapa?

Kerana beliaulah yang berjaya menyekat kemaraan Mongol ini apabila berjaya mengalahkan musuh dalam perang Ain Jalut.

Berapa ramai orang Islam hari ini yang membaca, mengenali tokoh agung ini? Ya, kita memang buta sejarah. Anak-anak kita, masyarakat kita amat jauh dengan sejarah Islam. Apatah mengenali tokoh-tokoh hebat yang pernah menjulang atas nama Islam.

Ayuh! Sebarkan, sampai-sampaikan cerita-cerita hebat ini buat saudara-saudara kita yang lain....

Biodata Sultan Qutuz (…-658H/1260m)

Nama beliau ialah Qutuz bin Abdullah al-Mu’izzi Saifuddin. Tidak diketahui tarikh kelahirannya adapun tarikh wafatnya pada tahun 658h bersamaan 1260m

Dikatakan namanya Mahmud bin Mamdud. Ibunya adalah saudara perempuan kepada Sultan Jalaluddin Khawarizmshah dan bapanya anak kepada bapa saudara sebelah bapa Sultan Jalaluddin. Beliau telah ditawan ketika serangan Mongol lalu dijual di Damsyiq dan kemudiannya berpindah ke Kaherah. Beliau merupakan hamba kepada seorang peniaga.

Qutuz merupakan seorang pemuda yang berambut perang, berjanggut panjang dan bertubuh tegap. Beliau merupakan seorang yang soleh, kuat mendirikan solat berjemaah dan tidak pernah mengambil arak.

Beliau merupakan salah seorang daripada Mamalik Bahriah. Merupakan tentera Mamalik yang paling berani. Beliau adalah terkenal sebagai seorang panglima, sangat berani, mahir dalam politik, kuat agama dan suka kepada rakyat.

Qutuz merupakan Sultan Mamalik selepas Aybak yang dikenali sebagai Sultan al-muiz Izzuddin Aybak al-Jasyinker at-Turkumani as-Salihi dan anaknya Ali yang digelar Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Aybak .

Selepas menjadi sultan, Qutuz digelar Sultan al-Muzaffar atau nama penuhnya Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz.

Sehingga zaman beliau, Mamalik dikuasai oleh Syaratuddur, Sultan Aybak, Sultan Ali dan Sultan Qutuz sendiri.

Kerajaan Mamalik bermula tahun 648H. Sultan al-Muiz Aybak menjawat jawatan Sultan Mamalik sehingga 655H. Kemudian Sultan Ali sehingga tahun 657H sehinggalah perlantikan Sultan Qutuz yang menjadi sultan hanya setahun antara 657-658H.

Bukan semua golongan Mamalik ini merujuk kepada hamba yang dijual kerana ada di kalangan mereka adalah kumpulan daripada bangsa Turki yang lari daripada serangan Mongol. Mereka melarikan diri dan berkhidmat di bawah sultan-sultan Mesir.

Dalam tempoh yang singkat muncul daripada kalangan mereka ini generasi baru yang yang mampu menjawat beberapa jawatan. Di antara mereka inilah Sultan Qutuz yang merupakan keturunan raja yang sampai kepada Raja Khawarizm Shah.

Beliau dibunuh oleh pembesarnya antara al-Ghurabi dan As-salihiah pada 16 Zulkaedah tahun 658 hijrah dan tidak sampai setahun menjadi sultan Mamalik ketika pulang ke Mesir sekembali daripada peperangan Ain Jalut setelah menewaskan Mongol.

Dikatakan ketika beliau ingin kembali ke Mesir telah dihadang oleh panglima tenteranya Bybaras dan sekumpulan besar pemimpin tenteranya lalu membunuhnya. Selepas iti beliau dikebumikan di al-Qasir dan kemudian dipindahkan ke Kaherah. Sultan Mamalik selepasnya ialah Sultan Ruknuddin az-Zahir Baybaras.

Wednesday, July 8, 2009

BC dan AD?

Sahabat-sahabat yang pernah melalui penulisan tesis semasa menyambung pelajaran di peringkat sarjana atau doktor falsafah, pasti berjumpa seribu macam kesukaran dan cabaran.
Sama ada cabaran dalaman iaitu diri sendiri atau luaran. Sebab tak hairan jika kita jumpa kawan kita yang berjaya menghabiskan subjek dalam tempoh tertentu yang ditetapkan.
Tetapi bilang tang tesis, ramai yang sangkut. Ada sebab masalah motivasi diri, sibuk, tak pernah menulis, penyelia yang sukar ditemui dan macam-macam lagi.
Pokoknya, nasiblah. Kalau yang boleh selesaikan on time, memang baik punya rezekilah. Banyakkan sujud syukur kerana ramai juga yang kecundang, gagal mencapai hasrat memiliki MA atau PHD walaupun telah memulakan perjalanan bahkan ada yang mungkin nak sampai tetapi tetap gagal.

Antara perkara yang memeningkan saya semasa menulis tesis ialah apabila saya terpaksa menulis abstrak dalam bahasa Inggeris. Saya perlu menterjemah yang BM kepada BI.
Saya satu masalah yang timbul semasa nak terjemah tahun masehi. Apa simbol nak kata 'sebelum masehi' dan 'selepas masehi'. Merata jugalah saya nak cari jawapan.
Yang sebelum Masehi lebih mudah. Simbolnya ialah B.C. Ya, singkatan kepada 'Before Christ'. Maknanya sebelum kelahiran Nabi Isa a.s.
Yang pening saya nak cari simbol 'selepas masehi'. Baca punya baca, akhirnya terjumpalah simbol A.D.
Datang pula bingung, apa makna A.D tu?
Sehinggalah baru-baru ni baru saya jumpa ketika saya berkursus dengan geng-geng sejarah. Walaupun sebelum tu dah banyak juga tanya geng sejarah pasal makna A.D tu. Ramai juga yang geleng kepala.
A.D ialah singkatan kepada 'After death of Christ' rupanya.
Ini cuma masalah saya.
Moral cerita ini... Kalaulah orang sejarah boleh baca buku2 tulisan Arab dan Inggeris pasti mantop.